“Apa gunanya kalau saya membaca al-Quran tetapi tidak memahaminya?” Tanya seorang murid kepada gurunya.
“Bacalah dulu.Perlahan-lahan nanti tok ajarkan maknanya” Jawab tok guru.
Murid itu pun terus membaca. Hari demi hari. Bulan demi bulan. Lama kelamaan dia berasa bosan dan datang menemui gurunya semula.
“Tok, saya masih berasa usaha membaca tanpa memahami makna al-Quran ini sesuatu yang tidak berfaedah” katanya.
“Baiklah. Tok akan menyuruh kamu melakukan sesuatu pekerjaan yang lebih bermakna” kata tok guru tersebut. Wajah murid itu kembali ceria.
Tok guru menyerahkan sebuah raga dan berkata, “ Kamu cedok air sungai itu dengan raga ini dan curahkan airnya ke dalam kolah madrasah kita.”
Si murid tadi kehairanan. Mesti ada sesuatu yang luar biasa akan berlaku, detik hatinya. Dia ke sungai dan mencedok air dan tergesa-gesa dia berlari untuk menuangkan air ke dalam kolah. Namun, sebaik sampai, air telah habis, menitis keluar dari celah-celah raga yang jarang itu. Begitulah dilakukannya berulang-ulang kali. Air menitis keluar dari celah raga dan kolah masih tidak dapat dipenuhi.
“Tok, perbuatan ini lebih tidak bermakna. Kalau tok gantikan raga ini dengan timba, barulah ia boleh menampung air, dan kolah akan penuh ”
Tok guru tesenyum. “ Setiap yang tok suruh, pasti ada maknanya” Katanya perlahan.
“Apa maknanya tok?”
“Menimba air dengan raga samalah dengan membaca al-Quran walaupun tidak memahami maknanya,” Jawab tok guru.
“Sama-sama tidak ada faedahnya. Begitu?”
“Tidak, sama-sama ada faedahnya.”pintas tok guru. Anak muridnya menjadi lebih hairan.
“Cuba kamu lihat raga yang kamu gunakan sejak tadi tu.Mulanya ia kotor, tetapi bukankah sekarang ia sudah bersih? Betul tak?”
“Betul tok.” Jawab anak murid mengiyakan.
“Ha, begitulah juga hati kamu ketika membaca al-Quran berulang-ulang kali. Walaupun belum memahami maknanya,tetapi paling tidak hati itu akan dibersihkan daripada kelalaian dan gangguan syaitan.”
Muridnya mengangguk.
Hebat! Rupa-rupanya, tok gurunya mendidik, bukan sekadar mengajar!
HIKMAH BERSAUDARA.
Allah berfirman dalam surah al-Zalzalah, maksudnya:
“ Maka barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya”
Ayat ini jelas menunjukkan Allah tetap akan mengira amal kebaikan kita walaupun sebesar zarrah. Bila disebut tentang zarrah, kawan-kawan pasti tahu bahawa saiz zarah (atom) itu sangat-sangat kecil. Teramat-amat kecil sehingga tidak dapat dilihat.
Bandingkan dengan kebaikan yang sebesar zarah, logiknya, kita tak nampak pun amal itu sebagai kebaikan, tetapi Allah tetap memberikan ganjaran bagi kebaikan tersebut sebagai bukti yang Allah itu Maha Pemurah dan juga Maha Adil.
Contohnya seperti menziarahi kawan-kawan kita. Tak kisahlah, sekadar datang bilik, sembang-sembang kosong, ia tetap dikira sebagai amal kebaikan kerana itu adalah usaha merapatkan ukhuwah sesama muslim. Kalau difikir-fikirkan, apalah sangatkan datang bilik kawan, tanya khabar, makan biskut dia, tengok drama dengan dia, main ps2,ps3,ps4 sama-sama.
Tetapi, dalam konteks gerakan, ini adalah asas. Ini adalah sebahagian daripada konsep usrah, iaitu taa’ruf. Setiap individu ada cara masing-masing untuk megenali orang lain dan cara untuk dia dikenali.
Jika kita mahu mengenali seseorang, kita perlu bermusafir dengan dia. Tidur, makan, minum, semua sekali.
Baru kita tahu, kawan kita tu suka makan apa. Apa yang dia tak boleh makan. Makanan apa yang dia tak boleh telan.
Baru kita tahu tidurnya bagaimana. Berdengkur atau tidak. Lasak ke dia yang dilasak.
Baru kita ada masa untuk bersembang dengan dia. Kenal latar belakang dia. Siapa ayahnya. Siapa Ibunya. Siapa adik beradiknya. Abang dah kahwin ke belum. Hehehe.
Pokoknya, kita perlu bersama dengan sahabat kita. Bertemu dengan sahabat kita. Baru ukhuwwah bertambah erat. Justeru, selalulah hadirkan diri dalam iftar,usrah, tamrin atau meeting sekalipun. Sebab, kita semua ada jadual belajar masing-masing. Jadi, gunakan kesempatan yang ada ketika berusrah, bertamrin untuk mengenali kawan-kawan kita.
Bila dah kenal, baru mudah untuk berjuang bersama mereka dalam gerakan.
Baru mudah untuk bergerak seiring menegakkan syariat Islam.
Barulah kita rasa, hikmahnya Allah menciptakan setiap hambaNya dengan pelbagai jenis rupa, latar belakang, minat, perangai yang berbeza-beza dan unik.
Banyak hadis yang menyebut tentang kelebihan berukhuwah. Antara yang masyhur:
“ seseorang muslim itu bersaudara dengan muslim yang lain, tidak menzaliminya, tidak membiarkannya tanpa pembelaan. Sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menunaikan hajatnya. Dan sesiapa yang memudahkan kesukaran saudara muslimnya,maka Allah akan memudahkan baginya kesukaran pada hari kiamat. Dan sesiapa yang menutup (aib, kesalahan, rahsia) saudara muslimnya, maka Allah akan menutup (aib, kesalahan, rahsia) dirinya pada hari kiamat”
Ukhuwah itu akan lebih manis, jika diiringi dengan peringatan dari Tuhan.
Peringatan tentang kematian.
Peringatan tentang akhirat.
Peringatan tentang jihad.
Ayuh refleksi diri masing-masing. Apakah kita tidak mahu ‘’membesar’’kan amal ini? Jadikan persahabatan yang kita punya, ke arah yang lebih bermakna. Bukan sahaja di dunia, malah di akhirat sama. Sentiasa ber-amar-ma’ruf-dan-nahi-mungkarlah dengan sahabat kita.
Sudah pasti ianya bukan amalan yang sia-sia.
Selamat berukhuwah.
*dipetik dan diubah suai dari SOLUSI isu 6
*dipetik dan diubah suai dari SOLUSI isu 6